Empat kilang di Senawang diarah tutup July 2, 2021 SEREMBAN: Empat kilang di kawasan perindustrian Senawang diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), semalam. Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata menerusi pemeriksaan oleh agensi penguat kuasa dalam Operasi Bersepadu Pematuhan SOP itu, tiga daripada kilang tersebut turut dikompaun atas kegagalan majikan memastikan had kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja dengan sebuah kilang didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Advertisement Jelasnya, sebuah lagi kilang diarahkan tutup selepas didapati terdapat kes positif Covid-19. “Sebanyak 12 kilang diperiksa dalam operasi bersepadu yang bermula 1.30 tengah hari dengan disertai 80 anggota daripada enam agensi. Kami mendapati terdapat sebuah kilang yang pernah dikompaun sebelum ini melakukan kesalahan berulang,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.