06 Jul 2021 / 12:23 H. PUTRAJAYA: Kira-kira 33 peratus atau 151,729 individu daripada 457,462 orang dalam kumpulan B40 yang menjalani saringan kesihatan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. “Mereka sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit,“ katanya ketika membentangkan Laporan PeKa B40 2019-2020 secara maya hari ini. Beliau berkata antara penyakit tidak berjangkit yang dikesan melalui saringan berkenaan adalah kencing manis sebanyak 10.4 peratus, kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus). “Sebelum menjalani saringan PeKaB40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.