Sembilan monyet mati diracun A A GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam tindakan kejam individu yang membunuh sekumpulan monyet dengan cara meletakkan racun pada makanan dalam kejadian di Paya Terubong, di sini pada Sabtu. Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, perbuatan meracun dan membunuh haiwan itu disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Monyet liar yang ditemui mati di Paya Terubong, Georgetown pada Sabtu dipercayai telah diracun. Menurutnya, tiada sesiapa yang berhak meracuni makhluk hidup apatah lagi melakukan perbuatan itu di habitatnya dalam kawasan hutan. "Perbuatan ini tidak berperikemanusiaan dan berdosa. "Kita yang memusnahkan hutan dan membina rumah atas nama pembangunan sehingga menjejaskan habitat haiwan berkenaan dan memaksa hidupan liar itu tinggal di tempat lain," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.