WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) berikrar akan bertindak terhadap insiden pengeboman di Kabul yang mengorbankan sekurang-kurangnya 103 orang dan operasi membawa keluar rakyatnya dan warga Afganistan tetap diteruskan, kata Presiden Joe Biden pada Khamis. Jumlah tentera AS yang terkorban dalam serangan tersebut meningkat kepada 13 orang, dengan 18 lagi cedera, menurut kemas kini terbaru Bill Urban pegawai hal ehwal awam di markas tentera AS. “Kami akan bertindak, dengan penuh kekuatan dan ketepatan, mengikut masa dan cara kami,” katanya berucap di Rumah Putih, ekoran serangan bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, lapor Xinhua.